Friday, November 27, 2015

Tip Semasa Cuti Sekolah

Kali ini, cikgu akan berkongsi dengan adik-adik tip memanfaatkan masa semasa cuti sekolah. Khususnya berkongsi perkara yang boleh memberi manfaat kepada pelajaran adik-adik.

Bijak menggunakan internet.
Elakkan diri adik-adik daripada menghabiskan masa yang lama dengan melayari internet. Khususnya melayari lamanlaman sosial seperti facebook, twitter dan youtube. Kecuali adik-adik menggunakannya bagi tujuan pembelajaran.
Contohnya ;
  • Melayari portal-portal pendidikan online yang berkaitan dengan mata pelajaran adik-adik.
  • Memanfaatkan e-mel dan laman sosial bagi bertukartukar ilmu dan pengalaman bersama rakan-rakan dan guru-guru.
  • Melayari laman-laman yang boleh meningkatkan pengetahuan am adik-adik

Ulang kaji secara berkumpulan.
Selain mengulang kaji sendirian di rumah, adik-adik boleh melakukannya secara berkumpulan. Dengan cara ini adik-adik dapat bertukar-tukar idea dengan rakan-rakan lain. Khususnya daripada rakan-rakan yang mahir bagi sesuatu mata pelajaran. Secara tidak langsung, ulang kaji berkumpulan juga dapat mengurangkan rasa bosan atau
mengantuk berbanding adik-adik ulang kaji sendirian di rumah.
Berkunjung ke Perpustakaan Awam.
Salah satu tempat yang boleh adik-adik kunjungi dengan lebih kerap berbanding hari-hari persekolahan biasa adalah perpustakaan awam. Adik-adik boleh mengulang
kaji pelajaran di sini dan membuat rujukan. Banyak bahan rujukan yang boleh adik-adik peroleh sama ada dalam bentuk buku atau dalam talian (internet). Jika adik-adik
kurang mahir menggunakan perkhidmatan yang disediakan di sini, dapatkan bantuan daripada pustakawan yang bertugas.
Mengikuti kelas tuisyen.
Bagi meningkatkan penguasaan adik-adik terhadap mata pelajaran yang adik-adik pelajari di sekolah, adik-adik boleh mengikuti kelas tuisyen. Khususnya bagi mata pelajaran yang akan adik-adik ambil dalam peperiksaan PT3 dan SPM.
Menyertai kem-kem motivasi.
Salah satu faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu bersemangat untuk belajar ialah memiliki motivasi diri yang tinggi. Oleh itu, murid-murid boleh menyertai kem-kem motivasi yang lazimnya banyak diadakan pada waktu cuti persekolahan bagi meningkatkan motivasi diri . Membaca buku-buku teknik belajar berkesan. Menerusi buku-buku ini, adik-adik akan memperoleh tip-tip dan panduan bagi membolehkan murid-murid belajar dengan berkesan. Mudah faham dan mudah ingat isi pelajaran yang dipelajari. Antara buku yang boleh adik-adik baca ialah buku Persediaan Hadapi SPM dan PT3.
Semoga tip-tip yang dikongsi ini bermanfaat buat murid2 bagi mengisi waktu cuti sekolah pada kali ini. Selamat meneruskan cuti sekolah!

0 comments:

Post a Comment

Embedded below post