Sejarah PSS

Sejarah PSS AL_GHAZALI
Setelah siap pembinaan SK Lambor Kiri yang baru pada awal tahun 1970-an, penduduk-penduduk tempatan merasakan adalah sangat perlu dibina pula sebuah sekolah menengah di Mukim Lambor Kiri. Bersandarkan kepada kepentingan pendidikan peringkat menengah, maka pemimpin tempatan dengan disokong oleh Ahli Yang Berhormat ADUN Bota telah mengemukakan permohonan peruntukan Kerajaan untuk membina sebuah sekolah menengah di kawasan Lambor Kiri. Jawatankuasa Bertindak telah dibentuk yang dipengerusikan oleh YB Dato' Haji Latif bin Haji Mohd Lazim, ADUN Bota ketika itu dengan dianggotai oleh Ketua-Ketua Kampung (Kampung Lambor Kiri, Kampung Teluk Sena, Kampung Pulau,Kampung Kuchai dan Kampung Bakong).

Usaha dan tindakan susulan terus dilakukan secara bersepadu oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berikutnya, iaitu Ahli Parlimen Parit Tuan Haji Nasaruddin bin Alang Saidin dan Dato' Haji Ahmad Hambal bin Yeop Majlis, ADUN Bota ketika itu. Usaha-usaha tersebut telah berjaya dan peruntukan pembinaan Sekolah Menengah Lambor Kiri telah diluluskan pembinaannya di atas tapaknya sekarang ini. Antara alasan-alasan yang menyokong hasrat mereka adalah kerana kesukaran murid-murid meneruskan persekolahan peringkat menengah di SMK Sultan Muzaffar Shah, Lambor Kanan dengan berulang alik menyeberangi sungai menggunakan sampan terutama semasa musim hujan dan banjir. Isu yang sering diperkatakan oleh ibu bapa ialah berkenaan aspek keselamatan dan risiko yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak mereka kerana sampan penambang tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sepatutnya. 

Insiden sampan yang membawa murid dihanyutkan arus deras ke hilir sungai menambahkan kebimbingan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika menyeberangi sungai sewaktu pergi dan balik dari sekolah. Atas alasan inilah maka kerajaan telah bersetuju membuka SMK Lambor Kiri secara rasmi pada 3 Jan 1989 dengan jumlah permulaan pelajar seramai 75 orang. Sekolah Penyalur atau “feeder school” ialah SK Teluk Kepayang, SK Bakong, SK Lambor Kiri, SK Pasir Kubu dan SK Pulau Tiga Kiri. 

Pada tahun 1989 kerja-kerja pembinaan sekolah ini mula dilakukan di atas kawasan tanah seluas 15 ekar di Alor Bemban, Teluk Sena. Dengan ini juga PSS Al-Ghazali memulakan perkhidmatannya dalam menyemarakkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar-pelajar Lambor Kiri.
                                        Rujukan

0 comments:

Post a Comment

Embedded below post